Kuala Lumpur, 2 Februari 2021 – Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad (“Boustead” atau “Kumpulan”) hari ini telah menerima pemakluman daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) bahawa Cadangan Penswastaan (“Cadangan”) tidak akan diteruskan buat masa ini. Keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pelbagai faktor risiko dalam menjalankan Cadangan tersebut, terutamanya keadaan ekonomi semasa yang mencabar kesan daripada pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan perkembangan ini, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat bagi membenarkan pihak Pengurusan Boustead untuk memberi focus kepada strategi Penciptaan Semula Boustead (Reinventing Boustead) bagi menyuntik nafas baru ke dalam operasi Kumpulan. Strategi ini bakal melibatkan penghasilan nilai dalam perniagaan teras sedia ada Kumpulan, perubahan model perniagaan secara kreatif, pelupusan beberapa aset bukan strategik serta menceburi sektor perkhidmatan digital dan teknologi.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly berkata, “Kepentingan untuk mencipta semula Boustead menjadi keperluan utama pada masa ini. Dengan peningkatan kreativiti dan inovasi model perniagaan yang berterusan serta bersandarkan asas pentadbiran yang berintegriti dan tidak berkompromi, kami bertekad untuk mengubah perniagaan fizikal menjadi lebih berdaya maju, berteraskan digital dan lestari. Beberapa minggu lagi, kami akan mula melancarkan inisiatif baru satu persatu untuk mempercepatkan penciptaan semula Boustead dan terutamanya, memenuhi jangkaan para pemegang saham.”

Mengulas tentang keputusan tersebut, Pengerusi Boustead, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata, “Setelah mengadakan perbincangan dan kajian yang terperinci bersama pemegang taruh yang berkaitan, LTAT dan Boustead telah bersetuju untuk tidak meneruskan Cadangan tersebut. Kami menyambut baik keputusan ini di mana pihak Pengurusan Boustead sekarang akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peluang-peluang perniagaan baru serta mempercepatkan penghasilan nilai. Kami jelas dengan halatuju yang akan diambil untuk meningkatkan peluang perniagaan dan memaksimakan pulangan kepada pemegang taruh utama kami – pencarum Angkatan Tentera di LTAT.”

—-END—-  

Mengenai Boustead Holdings Berhad

Boustead Holdings Berhad (‘Boustead’), salah sebuah konglomerat yang tertua di Malaysia adalah cabang pelaburan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (‘LTAT’). Kumpulan yang berpelbagaian ini mengandungi lebih daripada 90 buah anak syarikat, syarikat bersekutu & usahasama, serta mempunyai kepentingan utama dalam pelbagai sektor ekonomi Malaysia.

Operasi Kumpulan Boustead terbahagi kepada lima bahagian utama iaitu Perladangan, Industri Berat, Hartanah & Perindustrian, Perdagangan, Kewangan & Pelaburan serta Farmaseutikal.

Sejak ditubuhkan sebagai sebuah entiti perdagangan lebih 190 tahun yang lalu, Kumpulan Boustead telah berkembang dengan pesat. Setakat 30 September 2020, Boustead Holdings Berhad memiliki modal berbayar sebanyak RM2.7 bilion sementara dana pemegang sahamnya berjumlah RM3.5 bilion. Permodalan pasaran pula kini mencecah RM1.3 bilion. Untuk maklumat lanjut mengenai Boustead, layari laman sesawang www.boustead.com.my 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan di gcom@boustead.com.my